Sejarah

Mula dibuka pada tahun 1911. Asalnya bermula dari sebuah bangsal tempat menyimpan kayu kepunyaan Haji Ismail bin Abd Kadir. Kawasan yang asalnya seluas 20 x 30 persegi ini dijadikan sekolah oleh Tuan Haji Ismail sendiri yang pada masa yang sama ialah penghulu mukim ini.Ketika itu murid adalah seramai 20 orang dan guru yang mula-mula mengajar di sekolah ini ialah Encik Yusof.

 Sekolah asal berpindah ke tapak sekarang 21 tahun kemudian dan guru pertama yang mengajar di sekolah ini ialah Tuan Haji  Mohamad Said dengan jumlah murid  seramai 30 orang . Guru besar pertama yang dilantik bertugas di sekolah ini ialah Encik Hassan.Ketika itu murid datang dari kampung sekitar termasuk Pinang Tunggal, Pantai Prai, Kampung Selamat dan Padang Serai.

 Bilangan murid yang semakin meningkat mendorong Lembaga Pengurus Sekolah bersama orang kampung membina bangunan kayu empat bilik darjah dengan lantai tanah. Pada tahun 1957, pihak kerajaan telah mendirikan sebuah bangunan batu satu tingkat bagi menempatkan Pejabat Guru Besar dan tiga bilik darjah. 

Pada tahun 1989, sekolah ini menerima peruntukan wang daripada Jabatan Pendidikan Negeri untuk membina sebuah bangunan empat bilik darjah. Bangunan ini dibina secara gotong-royong. 

Pada tahun 2000, sekolah ini telah mendapat peruntukan untuk menukar bumbung lama dan membina siling bangunan kayu, menukar tangki air dan memasang pendawaian elektrik, lampu dan kipas di bangunan satu tingkat , dua bilik darjah dan satu stor. 

Pada tahun 2001 pula, sekolah  ini mendapat peruntukan untuk pembangunan sekolah di bawah projek payung Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membina pagar dan tembok sekolah yang baru, membaiki bahagian bangunan yang rosak, mengecat bahagian luar dan dalam bangunan, membina dataran kejat dan mini tar serta membina tiga buah pondok bacaan. 

Pada tahun 2001, sekolah ini mendapat peruntukan membina sebuah makmal IT dan mendapat peruntukan 22 buah komputer untuk digunakan dalam makmal tersebut. Pada awal tahun 2007,sekali lagi sekolah ini menerima sebanyak 10 buah komputer yang dilengkapi dengan internet untuk kegunaan guru dan pelajar yang semakin bertambah.